Saturday, March 30, 2013

Liputan Harakah Daily, Pemantau Kesal SPR Tidak Pantau Kerajaan Sementara



Pemantau Kelantan kesal SPR tidak pantau kerajaan sementara
Harakahdaily, 30 Mac 2013
KOTA BHARU: Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  yang enggan mematuhi keputusan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC) agar kerajaan sementara dipantau.

Ketuanya, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar)  dalam kenyataannya berkata, sikap SPR itu dikesali.

"Kami amat rasa terkilan dengan sikap badan pengendali pilihan raya di Malaysia iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana dilaporkan melalui HarakahDaily dengan tajuk “SPR ketepi syor PSC pantau kerajaan sementara”.

Katanya, sebagai kumpulan yang prihatin kepada memperkasakan demokrasi berparlimen di Malaysia umumnya dan Kelantan khususnya, sedaya mungkin mereka berusaha untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka dalam membentuk sebuah kerajaan yang berintergriti dalam PRU 13 kelak.

Katanya, apa yang ditunjukkan oleh SPR tersebut hanyalah mengesahkan apa yang disebut oleh Mantan Pengerusinya Tan Sri Abd Rashid Abdul Rahman dalam suatu forum 19 Januari lalu betapa sistem pilihan raya dan pengendaliannya di Malaysia mempunyai banyak kepincangan dan hanya mampu diperbaiki dengan mengubah seluruh undang-undang pilihan raya yang ada.

Dalam forum PRU 13, Kuasa dan penglibatan rakyat yang diadakan di Kota Bharu tersebut, beliau dan panel-panel lain bersetuju hanya perubahan kepada undang-undang yang ada sahajalah sistem pilihan raya di Malaysia dapat diperbaiki ke arah yang lebih telus dan berwibawa.

"Dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh SPR sebagaimana dilaporkan tersebut, ia hanya menambahkan tekad kami untuk terus memantau dan mengambil tindakan perlu bagi memastikan PRU 13 akan mampu menghasilkan kehendak rakyat yang mejoriti," katanya.

Justeru, katanya, pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan akan terus mendedahkan dan bertindak atas setiap salah laku yang condong mencabul dan menghalang penyuburan demokrasi menjelang PRU 13.

Sehubungan itu, katanya, seluruh masyarakat adalah dialu-alukan untuk memberi sebrang maklumat kepada pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan sama ada berkaitan penyalahgunaan tempat awam secara berleluasa, sebaran bahan-bahan hasutan keagamaan atau perkauman, dan sebarang tindakan yang menghalang aktiviti demokrasi sihat melalui blog dan page mereka di Facebook.

"Sebagai mewakili seluruh rakyat, kami menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

 6 comments

 

Friday, March 29, 2013

Dato' Pa dan Pemantauan Pilihan Raya

29 Mac,Airport Kota Bharu,  Dr Halim bersama Dato'Pa
Berbincang Soal Pemantauan Pilihan Raya
Saat bertolak ke KL bagi menghadiri mesyuarat Pemantau, kami berdua terserempak dengan Dato' Pa.  Terus sahaja saya mengambil kesempatan memperkenalkan kami dari pemantau pilihan raya dan mengarah perbincangan kepada pilihanraya bebas dan adil.

Berikut intipati penting perbincangan:
1) Trend dunia menetapkan dari awal tarikh pilihanraya.
2) Komitmen bersama untuk mengawal kegiatan politik disekolah yang menyebabkan prestasi sekolah merosot.
3) Pemantauan kepada semua parti yang terlibat, Dato' Pa (BN) dan TGNA (PAS/PR)
4) Usaha bersama kearah politik yang lebih matang dan mendidik rakyat.

Thursday, March 28, 2013

Sami Budha, Pilihanraya Bebas dan Adil

28 Mac, Wat Photivihan, Pasir Mas, Serahan resolusi kuning
 pemantauan pilihan raya, mengajak semua ngo dan rakyat
termasuk semua sami budha bersama memantau pilihan raya.
Api permusuhan agama mesti dihadapi dengan air persefahaman agama.  Apabila agama dijadikan alat politik bagi menimbulkan keresahan rakyat, melalu ceramah hasutan dan sebaran risalah fitnah. Pemantau rakyat mesti cepat merapatkan hubungan dengan pimpinan agama, supaya kita dapat memadamkan api permusuhan agama ini.

Pemantau Kelantan, berkunjung ke wat Photivihan di Pasir Mas, berbincang dgn timbalan ketua sami disitu, Kok Wai, peripenting pilihan raya bebas dan adil.

Sami Kok Wai menyebut kesucian daripada kekotoran politik. Juga menyatakan persetujuan keharmonian agama dan masyarakat.

Di Wat Photivihan, dimana terletaknya patung budha tidur sepanjang 40 m, kami dapat melihat  kura kura belaan yang sihat.  Anjing anjing jinak berehat.  Pengamal agama yang penuh ketenangan.

Lalu mengapa kita membiarkan sahaja, puak  puak yang cuba meragut kenikmatan ini. Ayuh bertindak, bersama memantau pilihan raya.


Wednesday, March 27, 2013

Liputan Sinar Harian, Pemantau Pantau Agensi Kerajaan

Sinar Harian Edisi Kelantan, 28 Mac 2013,
Liputan aksi laporan polis oleh Pemantau Kelantan
terhadap kegiatan hasutan mengapi-api permusuhan agama
 anjuran JAKIM
Diantara tuntutan jutaan rakyat yang turun ke jalan raya dalam Bersih 1, 2 & 3, adalah media yang bebas.

Aktiviti yang membantu menyedarkan masyarakat ,tentang pentingnya penglibatan rakyat dalam pilihan raya bebas dan adil, sewajarnya mendapat liputan media.

Media ada tanggungjawab sosial. Tidak sepatutnya media ditekan dan dikongkong dalam membuat pemberitaan.

 Kebebasan media, akan banyak membantu, menakutkan para penghasut supaya tidak lagi membuat kerja kerja iblis.

Kebebasan media, juga membuatkan pengetua sekolah kecut untuk membiarkan sekolah mereka dijadikan tempat melakukan aktiviti jenayah.

Kebebasan media, juga mengakibatkan nama busuk, mereka yang berhati busuk, dicium oleh jutaan manusia.

Terima kasih kepada wartawan Rosalwani dan juga Sinar Harian.Liputan anda adalah sumbangan kepada keharmonian beragama. Kejujuran serta kebertanggungjawapan adalah milik pengamal media yang bebas merdeka.

Si Buta Memimpin Pergerakan Pemantauan Pilihan Raya

Saudara Faizal, pengerusi Pemantau Pilihan Raya Kelantan, keluar
dari balai polis Kota Bharu selepas selesai membuat laporan
Sejarah perlu dipelajari.  Sejarah juga perlu dicipta.  Maka kita semua perlu bersama melakar sejarah yang cemerlang.

Semalam sekali lagi pergerakan politik di Kelantan mencipta sejarah.  Bersama 7 rakan pemantau yang lain, Faizal mengetuai laporan polis, bagi menghalang program menghasut anjuran JAKIM daripada terus membakar api permusuhan agama.

1976 beliau keluar dari perut ibunya sebagai bayi yang buta penglihatannya.  Tahun 2000 beliau keluar sebagai siswazah lulusan undang-undang Universiti Malaya.

Sebagai peguam, juga sebagai aktivis, beliau memimpin sebuah pergerakan masyarakat sivil di Kelantan, iaitu Pemantau Pilihan Raya Kelantan.

Bersama hampir 1,000 anggota Pemantau Pilihan Raya berdaftar diseluruh 14 parlimen di Kelantan, kami berusaha memainkan peranan dalam memastikan pilihan raya kali ini bebas dan adil.


Risalah Hasutan Dalam Program Anjuran JAKIM,PPD dan UMNO

26 Mac, Balai Polis Kota Bharu, Kumpulan 8 orang
Pemantau Piihan Raya Kelantan membuat laporan polis
program hasutan JAKIM,PPD dan UMNO.

KOTA BHARU: Pemantau Pilihanraya Kelantan hari ini membuat laporan polis berkaitan jenayah hasutan dan salahguna kuasa yang berlaku pada 23 Mac lalu.

Ia dikatakan berlaku dalam program Seminar mendaulatkan Islam Agama Negara (Semaian)  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pertubuhan Muafakat Sejahtera masyarakat, dengan kerjasama Biro Pendidikan Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Putih, Kelantan.

Laporan polis itu dibuat Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof, di IPD Kota Bharu, jam 10.30 pagi tadi setelah menerima maklumat dari orang ramai berhubung perkara itu.


Faizal ketika memberitahu media selepas membuat laporan polis itu berkata, program berkenaan lebih condong kepada hasutan dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan pada pihak lain.

(Faizal dan rakan-rakan keluar dari balai polis selepas membuat laporan)

Katanya, program itu amat  memberi kesan pada hasutan terhadap agama dan ianya merupakan jenayah hasutan yang nyata di negara ini.

“Kami berpandangan program itu satu penyalahgunaan institusi awam oleh pihak tertentu terutama untuk pilihanraya sekarang.

“Kita kena hormati pihak lain,  prinsip  asas  Perlembagaan Persekutuan khususnya bahagian 10 penjawat awam yang perlu bebas dari dicengkam anasir-anasir pihak politik,”ujarnya.

Tambahnya, jelas dalam program tersebut, telah mewujudkan suasana hasutan oleh pihak tertentu.

Beliau turut menambah perkara ketiga yang amat serius dalam program itu terdapat amalan menyekat amalan demokrasi berparlimen di malaysia.

“Terdapat tuduhan yang amat  tidak bertepatan dan tidak wajar dilemparkan kepada satu parti politik yang disahkan berdaftar dan undang-undang kononnya parti itu cuba nak buat sesuatu.

“Atas dasar itu kita ambil inisiatif supaya laporan polis ini dibuat semoga siasatan terhadap mereka perlu dilakukan,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara yang serupa tidak berlaku lagi apatah lagi di saat untuk menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi.

Katanya, mana-mana parti yang ingin berkempen diharap  telus, semua orang boleh tahu dan tiada nilai hasutan seperti itu.

Menurutnya, dalam program yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat itu turut memaparkan grafik menghasut supaya pembaca marah dan memusuhi pihak yang didakwa.

Faizal seterusnya berkata, antara yang disebarkan paparan grafik (DAP) menolak Islam, malah mengandungi kata-kata hasutan DAP adalah alat gerakan Kristian terancang di Malaysia.

Monday, March 25, 2013

Laporan Polis Risalah Hasutan Umno Di SMS Pasir Puteh

23 Mac, Pasir Puteh, Risalah edaran
Umno dan agensi kerajaan
yang terus sahaja bermain api membakar agama
Apa akan jadi kepada negara, jika kita membiarkan segolongan kecil puak mengapi-apikan perbalahan agama.  Negara pasti terbakar!

Pemantau Kelantan menerima aduan daripada guru-guru, kegiatan jenayah hasutan yang berlaku di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh.

Api yang kecil ini, yang cuba ditiup oleh sekumpulan kecil  manusia, untuk membakar negara, wajib dipadamkan.

Pemantau Kelantan akan membuat laporan polis pada 26 Mac 2013, jam 10 pagi, di balai polis Kota Bharu (Depan UiTM Kota Bharu) bagi membendung jenayah hasutan dan salahguna kuasa ini.

Padamkan api permusuhan agama, sebelum ia membakar masjid, gereja dan kuil kita semua.  Tangkap semua tukang bakar, sebelum api yang dinyalakan mereka membakar selipar dan kasut ditangga masjid, gereja dan kuil yang kita cahayai.

Liputan Harakah Aktiviti Pemantau Kelantan

Harakah sebagai sebuah media, yang mendokong pilihanraya bebas dan adil, terus bersama membuat liputan yang bermanfaat kepada pembaca.

Menerusi ruangan Koridor Pakatan Rakyat, yang memberi fokus kepada negeri Kelantan, kunjungan Hakim Brazil, Penentang rasuah, Marlon Reis, bertemu MB Kelantan TGNA, mendapat liputan sewajarnya.

Tentunya para pembaca memerlukan bahan berita yang membantu masyarakat bersama membina keharmonian.  Berita yang menampilkan usaha bersama sekumpulan masyarakat (pemantau pilihan raya) , yang memperjuangankan pilihanraya bebas dan adil.

Thursday, March 21, 2013

Tangan Yang Memberi Tidak Selalunya Mulia

21 Mac, Liputan Harakahdaily berkaitan
pelanggaran pilihanraya bebas dan adil
Tangan yang memberi, tidak lagi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Aktivis Pemantau Pilihan Raya Kelantan, Faizal, mendedahkan ugutan yang diterima oleh rakan OKU beliau, supaya mengundi UMNO, sebaik sahaja bantuan BRIM diterima.

Ini adalah nasib OKU Malaysia, dibawah pemerintah zalim.  BRIM dijadikan umpan, penerima dijadikan mangsa.  Dibalik umpan BRIM, ada mata kail yang diguna untuk menyentap kebebasan pengundi, lalu dijadikan mangsa ugutan.

Monday, March 18, 2013

Pantau Kes Guru Didakwa Hina Polis

19 Mac, Balai Polis Pasir Puteh,
Dimana Guru Berkenaan
Ditahan reman
Pemantau Kelantan telah menjalankan pemantauan kes guru di Kelantan yang didakwa menghina polis.

Pada jam 1115 pagi, pemantau Kelantan telah bertemu dengan Ketua Polis Balai Pasir Puteh, Roslizan.

Ini dibuat sebagai aksi tuntutan BERSIH, 'Menuntut Pilihan Raya Bebas dan Adil', 'Memperkukuhkan Institusi Awam' dan melaksana resolusi kuning Seminar Pemantauan Pilihan Raya Kelantan ' Gesa Polis Tidak Memihak Dalam PRU13'

Berikut ringkasan pertemuan:
1. Pemantau gesa polis memenuhi hak OKT
2. OCS Memberi jaminan OKT dalam keadaan selamat, ditempatkan dalam sel berasingan.
3. OKT telah diberi peluang dilawati ahli keluarga.
4.  Hospital KB telah dihubungi bagi bekalan ubat OKT.

Rumusan pemantau:
1. Polis masih dilihat cekap dan pantas bertindak dalam kes kes  yang memihak kepada BN.
2. Polis melalui peranan SB masih dilihat terlibat dalam provokasi yang memihak kepada BN.

Kenyataan guru berkenaan perlu dilihat juga dari perspektif berikut:
1. Hakim terkenal India, menyebut ' Undang2 dicipta bagi melindungi rakyat yang lemah, daripada penindasan pemerintah yang berkuasa'.
2. Kementerian Pelajaran perlu membela ribuan  guru-guru dibawah mereka, dengan mengadakan siasatan dalaman, bukannya terus membuat kesimpulan kenyataan politik.
3  Kenyataan guru berkenaan juga perlu dilihat sebagai manifestasi rakyat yang ingin melihat polis sebagai penjaga keselamatan rakyat, bukannya anjing kepada tuan tuan politik atau kumpulan penjenayah.  Statistik jenayah yang tinggi, rumusan suruhanjaya diraja supaya ditubuhkan IPCMC, tentu membuatkan rakyat terus marah kepada polis, menteri dalam negeri dan kerajaan BN.
l

Thursday, March 14, 2013

Mahasiswa Terus Siap Sedia Pantau Pilihan Raya

14 Mac, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Kelantan
Bergambar Setelah Selesai
Perbincangan Ke Arah Bengkel Pemantau
Pilihan Raya adalah partisipasi.  Ia bukan hanya soal memangkah kertas undi. Bahkan ianya juga adalah merupakan medan untuk penglibatan rakyat dalam proses demokrasi.

Sewajarnya anak muda dan mahasiswa, diajak untuk terlibat sama secara aktif dalam pilihan raya.  Kerana pilihan raya mengajar mereka banyak perkara.

Antaranya, apabila mahasiswa belajar untuk memantau pilihan raya, mereka akan belajar  asas undang2 pilihan raya secara praktis.  Mereka juga akan belajar prinsip pilihan raya.

Mahasiswa akan dapat memerhati, bagaimana untuk menang, ramai yang sanggup menipu.  Kami ucapkan kepada mahasiswa, selamat datang ke padang pilihan raya.  Bersama kita sekat mereka mereka yang cuba menipu rakyat.

Perbincangan yang dilalui, melalui perkongsian mereka yang berpengalaman dari Jabatan Pilihan Raya negeri, Jabatan Perkaderan Graduan dan Markaz Siswazah Kelantan, tentunya menambah pengetahuan dan pengalaman mahasiswa.

Tuesday, March 12, 2013

Rujukan Penting Bagi Pemantau Pilihan Raya

Malaysian Election Laws
Menghimpunkan 4 Jilid
Kes Petisyen Pilihan Raya sejak
1955-1999
Buku ini sangat membantu bagi mana -mana pemantau pilihan raya yang ingin medalami selok belok pilihan raya Malaysia.

Meliputi 3,000 mukasurat.  125 kes dibincangkan merangkumi fakta, isu dan juga penghakiman.

Bab 1, menyentuh era pilihan raya  umum sebelum merdeka.

Bab 2, menyentuh era pilihan raya  umum mulai  1959 dan juga pilihan raya negeri.

Bab 3, Pra pilihan Raya 1964, mulai dikupas oleh penulis, dan diceritakan bagaimana agen agen Indonesia cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya

Hinggalah kepada Bab 11, penulis menceritakan detik detik dramatik menjelang pilihan raya 1999.

Buku ini ditulis oleh Tunku Sofiah Jewa.

Wakil JPN PAS Kelantan Terima Serahan Resolusi Kuning

12 Mac, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Saudara Nasir
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan
Menerima Resolusi Kuning 'Tuntut Pilihan Raya Bebas dan Adil'
Daripada Tim Pemantau Kelantan
Bertempat di bilik mesyuarat, tingkat 1, pejabat perhubungan PAS Kelantan, satu serahan Resolusi Kuning, Seminar Pemantauan Pilihan Raya, ' Tuntut Pilihan Raya Bebas dan Adil', telah dibuat oleh Tim Pemantau Kelantan.

Saudara Nasir, yang juga merupakan bekas MP Kuala Krai serta pernah terlibat sebagai pemantau MAFREL, menyatakan keperluan untuk dibuat kerahan seramai mungkin rakyat Kelantan, memantau pilihan raya.

Beliau juga menyatakan keperluan kepada Pemantau untuk memberi tumpuan kepada beberapa isu kritikal dalam pilihan raya.  Seperti penyamaran, pembelian undi dan juga salahgunakuasa.

Sunday, March 10, 2013

Liputan Sinar Harian Edisi Kelantan 9 Mac

Aktiviti CSO Pemantau Pilihanraya Kelantan
terus mendapat liputan media
Kali ini Sinar Harian Edisi Kelantan menyiarkan
 laporan pertemuan Nik Aziz dengan Hakim Brazil

Friday, March 8, 2013

Tokoh Penentang Rasuah Brazil melawat SPRM Kelantan

Hakim Marlon Reis, saat berkunjung ke SPRM Kelantan,
bersama aktivis Pemantau Pilihan Raya Kelantan,
disambut oleh pegawai SPRM
SPRM Kelantan terus dikunjungi.

Kali ini kami membawa tokoh yang dihormati dari amerika latin, Hakim Marlon Reis, untuk berkongsi  pengalaman, dengan SPRM Kelantan.

Ianya adalah satu isyarat kepada SPRM bahawa tindak tanduk mereka diperhatikan oleh semua pihak.  Pergerakan global menentang rasuah, tentunya tidak melupakan Kelantan, sebagai sebuah negeri model pentadbiran Islam, negeri bebas rasuah.

Risalah Pergerakan Menentang Rasuah Pilihan Raya daripada Brazil, kami edarkan kepada SPRM Kelantan, ianya cukup bermakna, untuk kita melihat satu masa nanti roh Teo Beng Hock dan Syarbaini gembira, bahawa kematian mereka tidak sia-sia.

Akan sampai masanya segala jembalang perasuah, kita kurung mereka di dalam penjara.

Kami menyeru semua anak muda bersama gerakan global menentang rasuah pilihanraya. Ayuh!

Gerakan Memerangi Rasuah Pilhan Raya Kelantan

6 Mac, Pejabat MB Kelantan, Sesi Bergambar
Aktivis Pemantau/Pemerhati Pilihan Raya bersama
 Hakim Marlon Reis, YB Exco Penerangan dan Menteri Besar Kelantan
Saat pertemuan berlangsung, kami memaklumkan kepada Tok Guru, Pergerakan Memerangi Rasuah Pilihanraya Kelantan dan Gerakan Pemantau Pilihanraya Kelantan.

Ianya merupakan hasil daripada latar perjuangan yang panjang dan getir, daripada mereka mereka yang terdahulu, kemudian disambung oleh anak anak muda kini.

Penentangan terhadap rasuah dan penipuan pilihanraya, telah mengambil banyak korban.  Ianya terus menghasilkan tokoh penentang rasuah, setiap kali rasuah bermaharajalela, dan setiap kali adanya korban rasuah.

Lawan Rasuah..Pengalaman Brazil dan Kelantan

6 Mac, Pejabat MB Kelantan, Tok Guru menyampaikan pandangam
berkaitan rasuah bersama Hakim Marlon Reis dan
 aktivis pemantau pilihanraya kelantan, turut hadir YB Exco Penerangan
' Kelantan bebas rasuah kerana negeri ini serambi Mekah'.

  ' Apabila rakyat dan pemimpinnya bertaqwa pada Allah, masalah rasuah tidak akan berlaku.'

Demikian pandangan Tok Guru saat berbincang bersama Hakim Marlon Reis daripada Brazil.

Thursday, March 7, 2013

Hakim Brazil Bertemu Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan

 6 Mac,Kota Bharu, Hakim Marlon Reis berkongsi pengalaman
rakyat Brazil dalam menentang pembelian undi,
saat bertemu anggota BBC di JKR10.
Hampir 30 hadir dalam pertemuan Hakim Marlon Reis bersama anggota BBC dan Lajnah Guaman PAS Kelantan.

Antara soalan menarik yang ditanyakan adalah , bagaimanakah kaedah yang boleh digunapakai untuk membolehkan seseorang hakim membatalkan keputusan kemenangan calon yang merasuah pengundi.  

Hakim Marlon memberitahu, seorang Hakim hanya memerlukan 1 kes yang kuat, untuk membuktikan rasuah berlaku berleluasa dan seterusnya membatalkan kemenangan calon berkenaan.

Pertemuan tersebut juga bersetuju:
1) Pemantauan tidak hanya pada hari mengundi, bahkan ianya perlu dibuat secara jangka panjang.
2) Mendidik rakyat untuk membuat laporan rasuah pilihanraya dengan maklumat yg berkualiti.
3)  Himpunan 100,000 Pemantau Pilihanraya Rakyat di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Pertemuan Bersama Tokoh Penentang Rasuah daripada Brazil

6 Mac, Kota Bharu, Hakim Marlon Reis daripada Brazil,
sedang berkongsi pengalaman
rakyat Brazil dalam menentang pembelian undi,
bersama aktivis pemantau pilihanraya Kelantan
Hakim Marlon berkongsi pengalaman bagaimana jutaan  rakyat Brazil bangkit menentang pembelian undi.

Akibatnya hampir 700 calon pilihanraya disabit kesalahan kerana membeli undi.

BeberapaTrak lori terpaksa digunakan bagi mengangkut kertas bertandatangan rakyat Brazil yang mendesak rasuah pilihanraya dihentikan.http://www.mcce.org.br/site/

Justeru Pemantau Kelantan menyeru seluruh lapisan rakyat bangkit menentang parti dan calon yang cuba membeli undi anda.

Sidang Antarabangsa PRU13 di KL

Koordinator Pemantau Kelantan, Aina,
bersama Pengerusi BERSIH Ambiga, Nalini SUARAM, dan
Pegawai Tinggi Kedutaan India
dalam Sidang Antarabangsa PRU13
5 Mac 2013 Kuala Lumpur
Seramai 250 peserta hadir dalam Persidangan Antarabangsa PRU13 Malaysia, anjuran Ketua Pembangkang Malaysia.

Ianya telah berlangsung pada 4-5 Mac 2013 di Lake Club Kuala Lumpur.

Ianya dihadiri oleh Ahli Parlimen PR dan BN, wakil kerajaan negeri, pimpinan Pergerakan Masyarakat Sivil (cso), kedutaan dan pihak media.

Persidangan ini adalah dibuat bagi melanjutkan perbincangan Laporan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya.

Sunday, March 3, 2013

SPRM Tak Siap Sedia Perangi Rasuah PRU13?

Portal rasmi SPRM masih menunjukkan
 nombor telefon lama SPRM Kelantan yang gagal berfungsi
3hb Mac 2013
Dengan kematian Teo Beng Hock dan Syarbaini, apa perubahan pada SPRM?

Teo dan Syarbaini masuk ke bangunan SPRM, sebagai manusia hidup, sebaliknya keluar sebagai mayat.

Kali ini, sekali lagi SPRM membuat hal.    Pemantau membuat pengamatan tahap kesiap siagaan  SPRM menghadapi pilihan raya.

Jawabnya, terok.  Nombor yang tertera dalam portal SPRM Kelantan, adalah nombor lama.  Sudah beberapa kali kami membuat teguran terhadap perkara ini.  SPRM mengakui masalah, dan berjanji untuk diperbetulkan.  Namun hingga tarikh ini, masih belum diperbaiki.


Dalam keadaan rakyat resah dan tertekan , dengan pemberian BRIM,  yang menekan mereka mengundi BN, diserata negeri. Tentunya dengan nombor telefon yang salah, ianya tidak membantu.

Saturday, March 2, 2013

Mahasiswa Sahut Cabaran Anwar, Pantau Pilihanraya

Mahasiswa Jawatankuasa Pemantau PilihanRaya
Bergambar Selepas Taklimat Pemantauan Pilihanraya
Di KIAS Nilam Puri, Kelantan.

Seruan Anwar kepada mahasiswa supaya memantau pilihanraya, disambut oleh Mahasiswa Kelantan.

Mereka ini terdiri daripada 18 mahasiswa aliran agama di Kelantan, yg bersetuju membentuk jawatankuasa pemantau di peringkat kampus KIAS Kelantan.

Pertemuan kami dengan mereka,  merumus bahawa kita semua perlu memantau pilihanraya.  18 Mahasiswa ini adalah pencipta sejarah.  Mereka adalah penuntut agama, mahu beragama dan mahu mengugamakan persekitaran mereka.